Tuesday, 31 March 2015

Ho Chi Minh, Vietnam... March 2015

Assalamualaikum, hi all.

Kami berdua ke Ho Chi Minh, meneroka tempat popular orang Malaysia membeli-belah. Kami pergi 4hari 3malam cara backpackers.

Tiket AirAsia
Untuk 2 orang pergi dan balik dalam RM700 (termasuk insurans, pilih tempat duduk, bagasi 50kg tiket balik saja). Murah sebab beli setahun yang lalu.

Tukaran matawang
Tukar di Malaysia, kebetulan ada duit yen ¥30,000 tukar kepada dollar dapat $247. Di airport Vietnam hanya tukar RM50 dulu sebab mahukan duit kecil untuk bayar tambang bas, dapat VND270,000. Selebihnya kami tukar di money changer area Ben Thanh, lebih kurang saja kadarnya.

Hotel Xavier
USD65 untuk 3 malam, tempah melalui booking.com. Sangat dekat dengan Ben Thanh, makanan halal, dan pasar malam. Ada wifi, toiletries lengkap, bilik air bersih, katanya hotel baru.

Dari airport ke hotel, kami naik bas no. 152, tambang VND5,000. Keluar saja airport, sudah nampak bas sedang berehat. Kira-kira 30 minit menempuh traffic jam, kami sampai di stesen bas pertama, dekat dengan Ben Thanh. Tidak perlu tekan loceng pun. Kami berjalan ke arah Ben Thanh dan menuju ke hotel, belum 10 minit sudah sampai. Sepanjang jalan ke hotel, orang ramai rancak berurusniaga, macam pekan Hadyai pun ada.

Sesudah check-in, letak beg dalam bilik, terus ke Ben Thanh. Tanpa dapat mengawal nafsu, terbang RM1,135. Kemahiran membeli kami sukar ditafsir. Sudah banyak blog dirujuk persiap diri supaya jangan tergesa-gesa, tinjau dulu baru beli. Tapi kami tidak dapat menahan gelora mahukan apa di depan mata. Jangan contohi kami. Walau apa pun, dengan apa yang kami beli, rasanya sudah murah berbanding Malaysia. Entahlah!

Malamnya kami makan di restoran Kampung Melayu, VND200,000 untuk 2 orang set nasi ayam + baby kailan + air putih. Sedap! Ada wifi.

Sambung shopping di pasar malam pula. Terhabis sebahagian RM di sini. Terasa penangan Ho Chi Minh agak kejam pada kami yang hampir kekeringan poket. Jam 9 malam kami balik ke hotel supaya poket tidak lagi diancam.


Demikianlah kami untuk hari-hari seterusnya, shopping memanjang. Kami tertarik juga dengan ground tour untuk sight-seeing yang jauh-jauh. Tapi kami hanya berdua, lagi seronok kalau reramai kerabat dan sahabat yang turut serta. Mungkin lain kali saja. Kami ada juga melawat historical places di sekitar bandar Ho Chi Minh seperti French building dan central post office. Cantik!


Antara komen-komen kami yang banyak songeh ini,

  • Tidak semua harga di sini murah. Barang hanya murah jika anda mahir tawar-menawar dan hati keras, tidak patah dengan pujuk rayu penjual. Kami kurang kudrat untuk memusing, menawar, memantau setiap kedai, bet for cheap price.
  • Ada kedai yang memang murah dan harga tetap, yang ini kami sangat suka.
  • Barang yang kami beli, antaranya ada di Malaysia yang harganya lebih kurang sama, cuma di Malaysia kami tidak berkesempatan untuk membeli.
  • Adat penjual, biasalah, claim original, tapi tidak sebenarnya. Di tempat kita pun ada macam ini punya cara.
  • Overall, makanan boleh tahan sedapnya. Kopi ais paling sedap. Tahap kebersihan seperti mana-mana negara sedang membangun yang lain juga. Lalulintas seperti di Indonesia, roundabout jadi clockwise plus anticlockwise, jadi hati-hati bila melintas. Mereka cekap, kitalah yang terkial-kial.
  • Penipuan ada di mana-mana, kami sudah terkena. Kami ditegur oleh seorang pakcik jual air kelapa naik basikal. Dia ramahkan diri berkenalan dan tunjuk jalan. Kami pun tidaklah menyombong bila ditegur. Alih-alih terbang duit kami bayar air kelapa RM15 sebiji yang sepatutnya hanya RM3-4. Bila keluarkan duit dari wallet depan mata dia, belum apa-apa lagi dia terus rampas. Tidak sempat minta tawar. Jadi, kalau ada orang tegur jangan cuba layan, terus pergi dan jangan berpaling lagi, takut nanti terpedaya dengan keramahan mereka. Kami ada bersembang dengan orang Malaysia, rupanya mereka pun terkena, kes sama. Rasanya pakcik ini sudah jutawan terbilang.
Akhirnya tiba masa kami pulang ke tanahair. Bolehlah timba sedikit pengalaman di negara orang. Untuk mereka yang suka shopping, persiap diri betul-betul baru berbaloi. Hal-hal shopping sangat menarik jika barang murah harganya.


Tokyo, Japan Disember 2014

Assalamualaikum, hi all.

Saya ada satu urusan rasmi di Waseda University, Shinjuku, Tokyo. Jadi di ruangan ini dikongsi pengalaman saya bersama suami di sana selama 3 hari 4 malam.

Tiket AirAsia
Tiket tidaklah murah sebab saya beli last minutes, kira-kira 2 minggu sebelum bertolak. MAS lebih murah sebenarnya tetapi saya mengambil kira faktor masa dan jarak, jadi terpaksa beli AirAsia. Saya mahu bertolak waktu tengahari. Tiba di Haneda airport hampir tengah malam dan train untuk ke Tokyo sudah tamat operasi, jadi terpaksa ambil teksi. Jarak Haneda airport ke Tokyo lebih dekat berbanding Narita airport. Narita airport lebih besar dan baru, flight MAS mendarat di sini. Berikut harga tiket per pax.
     HND --> KUL   RM949
     KUL --> HND   RM884

Tukaran matawang
Kami tukar RM4,030 dapat ¥130,000 (rate 0.031)

Hotel
Shinjuku adalah daerah paling sesak di Tokyo. Saya kira seperti Bukit Bintang di KL. Terdapat banyak hotel di sekitarnya. Kami memilih Nishi-Shinjuku MyStays Hotel ditempah melalui AirAsiaGo. Hotel berdekatan dengan stesen-stesen train tertentu dan dekat juga dengan beberapa tempat tarikan pelancong. Kami suka hotel ini sebab baru dan paling convenient pada kami ketika itu, dekat dengan stesen yang memerlukan kami berulang-alik ke Waseda University dan ke tempat-tempat yang ingin dilawat. Untuk 4 malam harganya RM1,349.99. Bilik agak sempit, ada wifi, toiletries lengkap, tiada sarapan tapi disediakan coffee maker di lobby. Coffee sangat sedap, must try!

Pengangkutan
Dari Haneda airport kami ambil teksi untuk ke hotel harganya ¥9,220, jarak 28km. Bila saja melepasi kastam, ikut laluan ke arah Exit dan Taxi. Di situ ada ramai yang menunggu dan seseorang yang incharge. Tunjuk alamat lengkap hotel, bila sampai pemandu akan print resit on the spot. Mereka guna meter, setakat ¥900 boleh diminta kurang atau mungkin lebih kalau pandai.

Untuk perjalanan berikutnya kami banyak menggunakan train sebab lagi jimat dan mudah. Maklumat masa, jarak, dan kos bagi setiap perjalanan boleh rujuk google maps.

Tarikan pelancong

1. Tokyo Metropolitan Goverment Building (TMGB)
Berjalan hampir 1km dari hotel directed by google maps. Selepas sarapan ala kadar kami keluar jam 8am. Udara sangat sejuk (winter), lalulintas lancar (no traffic jam as train is main mode of transport), dan nyaman walaupun menapak jauh. Tiba di lokasi, entrance untuk ke tingkat 45 (202m) melihat pemandangan Tokyo belum dibuka, tapi sudah ramai pelancong yang beratur. Bangunan ini mempunyai 2 tower (observation deck), kami hanya naik satu daripadanya dan ianya percuma.

2. Harajuku
Tempat ini seperti 'port' untuk remaja memperaga fesyen karektor popular filem dan animasi. Ada satu lorong tumpuan nama Takeshita Street menjual pakaian, kasut, cenderahati sepanjang laluannya, Daiso juga ada di sini. Dekat saja dengan stesen Harajuku. Di sekitarnya pula ada Yoyogi Park, taman luas dan cantik yang menempatkan temple-temple tertua. Ramai orang datang beriadah dan menonton persembahan jalanan. Berikut itinerary kami.
     TMGB --walk 950m--> Shinjuku St. --train ¥140--> Harajuku St.

3. Shibuya
Selepas merewang di Harajuku kami berjalan ke arah Shibuya, hanya 1km. Boleh naik train ke Shibuya Station dari stesen Harajuku, tiket ¥140. Kami suka menapak lenggang-lenggang kangkung menikmati udara sejuk nyaman. Di sini tarikannya adalah the world's busiest zebra crossing. Setiap minit tertentu hampir ribuan manusia melintasinya. Tempat tumpuan beli-belah juga banyak. Kami makan tengahari di restoran halal orang Turki. Sedap juga pekena nasi Arab, kebab daging, sup tomato, dan teh Arab. Harga lebih kurang RM30 per set. Kemudian kami pusing-pusing tengok baju, lepak-lepak tengok gelagat manusia Jepun, dan akhirnya kami penat. Hari hampir malam, kami terus ke stesen untuk balik ke hotel.
     Shibuya St. --train ¥160--> Shinjuku St. --walk 700m--> Hotel

Dalam perjalanan balik ke hotel, tetiba salji turun. Teruja kami walaupun hanya ala-ala hujan renyai. Kalau mahu lebih perlu ke Mount Fuji, baru puas.

4. Ueno
Esoknya kami ke Ueno (utara Tokyo) setelah selesai tugasan di Waseda University. Antara yang menjadi tumpuan adalah Ameyoko Street, berdepan dengan Ueno Station. Di sini seperti pasar dengan lot-lot kedai setingkat, gerai-gerai, medan selera di sepanjang laluannya. Kami makan kebab halal yang sedap dan strawberi coklat/susu. Fridge magnet dan baju I Love Tokyo juga murah.

5. Akihabara
Dari Ueno Station kami ke Akihabara Station. Berdekatan situ ada banyak sangat kedai elektronik. Namanya pun Akihabara Electronic Town. Kami masuk Yodobashi electronics store meninjau jam G-Shock, hp, camera. Apa yang kami beli hanyalah beberapa miniature car, termasuk bullet train sebagai kenangan. Kalau di tempat lain lebih mahal harganya. Jam 9pm kami balik ke hotel beristirehat.

6. Gotemba
Esoknya kami ke Gotemba Premium Outlets, 110km dati Tokyo. Separuh jalan kami naik shikansen (bullet train), separuh jalan lagi naik train biasa. Kami ingin merasa naik shikansen tapi mahal sangat tiketnya, jadi ambil tiket separuh jalan saja. Balik ke Tokyo kami naik bas untuk lebih jimat. Di Gotemba Station, disediakan free shuttle bus untuk ke premium outlets. Barang-barang berjenama seperti Coach, Timberland, Samsonite, Adidas, Tefal murah. Kami pun beli kasut Nike dan baju GAP sebab murah berbanding Malaysia. Seharian di sini tidak risau sebab ada surau dan medan selera, udon dan soba boleh makan. Cuaca sangat sejuk, jelas kelihatan nafas keluar asap. Gunung Fuji tidak jauh dari sini tapi sebab hujan tiadalah peluang melihat keindahannya. Sepanjang jalan tadi kami menikmati keindahan kebun sayur dan sawah padi. Ternyata kawasan pedalaman amat tenang dan saujana mata memandang.

7. Asakusa
Hari ini kami check-out hotel awal pagi. Kemudian kami ke Asakusa, tempat di mana banyak pilihan cenderahati untuk dibeli. Dari hotel kami ke stesen train berdekatan dan terus ke Asakusa Station. Keluar saja station akan nampak gerbang temple warna merah. Selepas gerbang ini ada laluan menuju ke temple. Di kiri kanan laluan dijual pelbagai cenderahati. Harga seperti di tempat lain juga cuma di sini ada banyak pilihan.

9. Tokyo Disneyland
Sebelum ke Haneda airport kami singgah Tokyo Disneyland. Pas masuk RM170/pax, agak mahal tapi pengalaman lagi mahal. Oleh sebab waktu ini sesi persekolahan di Jepun mula tamat, manusia berkunjung seperti semut hurung gula. Selama kami 4jam di situ, hanya 2 permainan yang sempat kami rasa sebab barisan menunggu sangat panjang. Suasana sangat sesak dan rasanya tidak sepadan dengan harga tiket. Udara pula sejuk menyegat sehingga tidak mahu keluar dari bangunan sedangkan keseronokan ada di luar. Sampai masa kami terus ke airport menunggu untuk balik ke KL.

Nota kaki kasut Timberland ori:
*banyak lagi tempat tumpuan pelancong selain di atas, contohnya Tokyo Skytree di Ueno, boleh rujuk japan-guide.com
*pengangkutan tiada masalah sebab di mana-mana ada stesen train, boleh rujuk google maps untuk itinerary
*restoran makanan halal ada di beberapa lokasi, biasanya masakan Arab (kalau tidak ke restoran, kami beli nasi kosong di 7e atau convenience store Jepun, makan dengan lauk segera dalam tin Adabi bekal dari Malaysia
*Disember cuaca sekitar 3'C, kulit jadi kering, bersisik, dan gatal, kalau boleh bawa losyen selain winter coat atau baju tebal (losyen boleh ambil di hotel)
*bawa travel adapter (DIY ada jual RM2.90) atau boleh minta di hotel tapi terhad

Thursday, 5 December 2013

Ikan Siakap Tiga Rasa



 

Secret recipe:
1 ekor ikan siakap (lumur garam, sos ikan, lada sulah, cuka, tepung jagung)
2 ulas bawang putih (cincang)
1 labu bawang besar (cincang)

½ inci halia (cincang)
1 biji tomato (cincang)
10 biji cili api (cincang)

2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil sos ikan

Preparing the dish:
  1. Goreng ikan dengan minyak penuh hingga garing, ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang besar dan halia hingga layu. Masukkan tomato, cili api, sos ikan, sedikit air, garam dan gula. Kacau sebati.
  3. Setelah masak, curah kuah tadi ke atas ikan. Tabur hirisan daun bawang.